JWP Anjur Kursus Psikologi Perkukuh Kesejahteraan Keluarga

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 17 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menerusi Unit Pengurusan Psikologi, Seksyen Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) telah menganjurkan Kursus Psikologi: Kesejahteraan Keluarga bagi warga jabatan dan agensi berkaitan yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Serbaguna, Menara Seri Wilayah.

Program yang diadakan dari 15 hingga 17 Julai itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Seksyen Pengurusan Sumber Manusia BKP, YBrs. Encik Saiful Yusnor Mohd Yusuf, dan menghimpunkan seramai 55 pegawai daripada Jabatan Wilayah Persekutuan serta agensi di bawahnya.

Penganjuran kursus tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kefahaman peserta mengenai konsep kesejahteraan keluarga dengan memberi penekanan kepada aspek psikologi, emosi dan sosial sebagai asas pembentukan institusi keluarga yang kukuh.

-Advertisement-

Melalui pengisian yang disediakan, peserta turut didedahkan kepada pendekatan dalam mewujudkan keseimbangan antara kehidupan berkeluarga dan kerjaya, di samping memperkukuh kesejahteraan mental serta hubungan sosial dalam kehidupan seharian.

Jabatan Wilayah Persekutuan berharap program seumpama ini dapat melahirkan warga kerja yang lebih sejahtera, produktif dan berdaya tahan, sekali gus menyokong pembentukan persekitaran kerja yang positif serta berkualiti. – The Capital Post