MELAKA 18 Julai 2026 (The Capital Post) – Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) bersama beberapa rakan strategik termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Melaka Berhad, Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Maybank menganjurkan Sesi Dialog dan Jaringan MSIA bersama Ketua Menteri Melaka bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor serta industri pembuatan maju negeri itu.
Program yang berlangsung pada 16 Julai 2026 di Hatten Hotel, Melaka membawa tema “Transforming Melaka into a Future-Ready Semiconductor and Advanced Manufacturing Hub: Driving Talent, Sustainability and Industrial Excellence” dengan memberi tumpuan kepada daya saing industri, pembangunan bakat, kelestarian serta peluang pertumbuhan sektor semikonduktor.
Melaka yang mempunyai sejarah industri semikonduktor lebih lima dekad terus memperkukuh asas perindustrian sedia ada menerusi pelaksanaan Pelan Strategik Semikonduktor Melaka 2026–2035 yang selari dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS). Inisiatif tersebut bertujuan mempertingkat keupayaan industri, mengukuhkan rantaian bekalan serta menarik pelaburan bernilai tinggi.
Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam ucapannya berkongsi visi transformasi industri negeri itu dengan menekankan kepentingan memperkukuh pelaburan, pembangunan industri serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi menyokong pertumbuhan sektor semikonduktor.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, Melaka kini mempunyai asas industri, tenaga kerja berkemahiran dan rangkaian pembekal yang kukuh untuk bersaing mendapatkan pelaburan bernilai tinggi generasi baharu.
Beliau berkata industri elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai pemacu utama landskap pelaburan Malaysia, dengan sektor tersebut merekodkan RM6 bilion pelaburan diluluskan pada suku pertama 2026, iaitu jumlah tertinggi berbanding industri pembuatan lain.
-Advertisement-
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, kerjasama berterusan bersama pemain industri membolehkan pihaknya memahami keperluan syarikat serta mengenal pasti peluang baharu bagi memperkukuh kedudukan Melaka sebagai lokasi pilihan untuk perkembangan industri semikonduktor.
Presiden MSIA, Dato’ Seri Wong Siew Hai pula menegaskan bahawa daya saing masa depan Malaysia dalam industri semikonduktor bukan hanya bergantung kepada kapasiti pengeluaran, tetapi turut dipengaruhi kekuatan keseluruhan ekosistem termasuk pembangunan teknologi, bakat dan inovasi tempatan.
Maybank turut menyatakan komitmen dalam menyokong aspirasi Melaka menerusi pembiayaan serta penyelesaian kewangan bagi membantu syarikat tempatan dan perusahaan kecil sederhana (PKS) meningkatkan keupayaan melalui teknologi, automasi dan pembangunan tenaga kerja.
Sesi dialog tersebut turut menampilkan perbincangan panel melibatkan wakil industri, kerajaan dan sektor kewangan yang berkongsi pandangan mengenai perkembangan syarikat semikonduktor tempatan, peluang rantaian bekalan bernilai tinggi serta sokongan pembiayaan kepada industri.
Program itu berjaya menghimpunkan hampir 150 pemimpin industri, pembuat dasar, agensi kerajaan, institusi kewangan dan rakan ekosistem dalam usaha memperkukuh aspirasi Melaka sebagai hab semikonduktor dan pembuatan maju yang bersedia menghadapi masa depan. – The Capital Post