KUALA LUMPUR 18 Julai 2026 (The Capital Post) – Jalan Raja di hadapan Dataran Merdeka akan ditutup sepenuhnya bermula 21 hingga 27 Julai 2026 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja persiapan, pelaksanaan operasi serta pembongkaran sempena penganjuran Citrawarna 2026. Maklumat terkini berkaitan penutupan jalan boleh dirujuk menerusi platform rasmi Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) di Program Citrawarna Malaysia 2026 – KLCCC DBKL.
Penutupan jalan tersebut akan bermula pada jam 12.00 tengah hari, 21 Julai 2026 dan dijangka dibuka semula pada 5.00 pagi, 27 Julai 2026. Langkah itu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran persediaan acara kebudayaan berskala besar yang bakal berlangsung di ibu negara.
Selain penutupan utama berkenaan, beberapa laluan turut terlibat sempena sesi raptai dan acara Citra Perarakan (Colours of Parade) pada 24 dan 25 Julai 2026. Raptai akan berlangsung pada 24 Julai dari jam 9.00 malam hingga 2.00 pagi, manakala perarakan utama diadakan pada 25 Julai dari jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Laluan yang terlibat merangkumi kawasan dari Bulatan Dato’ Onn ke Jalan Parlimen sehingga Jalan Raja Laut, Jalan Esfahan, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak, selain susur masuk Jalan Kinabalu ke Jalan Sultan Hishamuddin.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan papan tanda lalu lintas serta menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan. Pengunjung juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan akses ke lokasi acara.
-Advertisement-
Bagi menyokong kemudahan perjalanan pengunjung, Grab turut menyediakan baucar promosi e-hailing bernilai RM3 kepada 1,000 pengguna terawal setiap hari dari 24 hingga 26 Julai 2026, dengan jumlah keseluruhan 3,000 baucar bernilai RM9,000 sepanjang tempoh acara.
Citrawarna 2026 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai di Dataran Merdeka akan menampilkan kepelbagaian seni, budaya, warisan dan gastronomi Malaysia bersempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Maklumat lanjut mengenai acara boleh diperoleh menerusi platform rasmi Tourism Malaysia.
Orang ramai boleh mendapatkan kemas kini terkini berkaitan penutupan jalan, jadual program dan aktiviti Citrawarna 2026 menerusi saluran rasmi penganjur serta pihak berkaitan. – The Capital Post