MYSA, DBKU Meterai MoU Perkasa Tadbir Urus Bandar Berasaskan Teknologi Angkasa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING, 21 Julai 2026 (The Capital Post) – Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan dan pengoperasian sistem aplikasi berasaskan teknologi angkasa untuk meningkatkan kecekapan tadbir urus bandar.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah MYSA, Dato’ Gs. Haji Azlikamil Napiah dan Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah. Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, serta Datuk Bandar DBKU, Dato’ Hilmy Othman.

Kerjasama strategik itu memberi tumpuan kepada pembangunan sistem yang memanfaatkan teknologi penderiaan jauh (remote sensing), Sistem Maklumat Geografi (GIS), Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT).

Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan mempertingkatkan keupayaan dalam aspek perancangan, pembangunan, pengurusan, kawalan dan pemantauan tadbir urus bandar, khususnya melibatkan infrastruktur, keselamatan, pelesenan dan percukaian.

-Advertisement-

Penggunaan data spatial serta imej satelit yang dikemas kini hampir masa nyata (near real-time) dijangka menyokong proses membuat keputusan yang lebih tepat, pantas dan berkesan, di samping memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara proaktif dan berfokus.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Agensi Angkasa Malaysia – MYSA, agensi itu kekal komited memperkasa pembangunan sektor angkasa negara melalui penggunaan teknologi angkasa bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi kerjasama strategik dengan kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri. – The Capital Post