CYBERJAYA 22 Julai 2026 (The Capital Post) – Japan International Cooperation Agency (JICA) menjalankan sesi lawatan dan libat urus bersama agensi pertanian Malaysia bagi meneliti ekosistem pembangunan usahawan tani serta landskap rantaian nilai makanan negara menerusi projek ASEAN-JICA Food Value Chain (AJFVC).
Lawatan yang berlangsung dari 20 hingga 24 Julai 2026 itu merupakan sebahagian daripada persediaan bagi Mesyuarat Permulaan (Inception Meeting) Output 4: Public-Private Partnership (PPP) di bawah projek AJFVC, yang memilih Malaysia sebagai negara kajian bagi memahami pendekatan pembangunan sektor pertanian dan penglibatan usahawan tani.
Delegasi JICA yang diketuai wakilnya, Encik Shingo Kikuchi, bersama wakil Sekretariat ASEAN-JICA Food Value Chain (AJFVC), Ms. Desti Rahmaniar, mengadakan siri lawatan serta sesi temu bual bersama agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam pelaksanaan program pembangunan usahawan tani di Malaysia.
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bertindak menyelaras program libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta jabatan dan agensi berkaitan bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai pelaksanaan inisiatif pembangunan usahawan tani negara.
-Advertisement-
Menerusi lawatan tersebut, delegasi turut berpeluang memahami model pemasaran hasil pertanian melalui sistem Contract Farming yang menghubungkan pengusaha tani dengan pasaran secara lebih tersusun dan berdaya saing.
Sesi libat urus ini turut melibatkan penyertaan Pengarah Bahagian Padanan Bekalan, YBrs. En. Firdous Abu Bakar, Timbalan Pengarah FAMA Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, YBrs. En. Zaidi Ahmad, serta barisan pegawai kanan LPP.
Kerjasama antara Malaysia, JICA dan AJFVC ini diharap dapat menyumbang kepada perkongsian pengalaman, pengukuhan rantaian nilai makanan serta pembangunan model kerjasama awam-swasta yang lebih mampan bagi manfaat sektor pertanian negara. – The Capital Post