KBS, KPM Perkukuh Kerjasama Pembangunan Belia

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 22 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh hubungan strategik menerusi kunjungan hormat Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, ke atas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Azman Adnan di Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pertemuan tersebut menjadi platform bagi mempererat kerjasama antara kedua-dua kementerian dalam usaha menyokong pembangunan belia, pendidikan dan sukan secara lebih menyeluruh serta bersepadu.

Antara perkara yang dibincangkan ialah peluang untuk memperluaskan kolaborasi strategik dalam melaksanakan program pembangunan belia, memperkukuh ekosistem pendidikan dan meningkatkan penyertaan dalam bidang sukan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan negara.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi melahirkan generasi muda yang lebih berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan mempunyai ketahanan diri selaras dengan aspirasi pembangunan negara.

-Advertisement-

Selain itu, pertemuan berkenaan turut menekankan kepentingan kerjasama rentas kementerian dalam memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan demi manfaat rakyat.

KBS berpandangan bahawa sinergi antara sektor pendidikan dan sukan mampu memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kecergasan fizikal, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan. – The Capital Post