KUALA LUMPUR 23 Julai 2026 (The Capital Post) – Kerajaan mengumumkan pelarasan harga runcit petroleum bagi tempoh 23 hingga 29 Julai 2026, menyaksikan kenaikan harga RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi, manakala harga bahan api bersubsidi kekal tidak berubah.
Menerusi pelarasan tersebut, harga RON97 meningkat sebanyak 20 sen kepada RM4.20 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi turut naik 20 sen kepada RM3.62 seliter. Harga diesel tanpa subsidi pula mencatatkan kenaikan sebanyak 35 sen kepada RM4.42 seliter.
Bagi memastikan kebajikan golongan yang layak terus terpelihara, kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter, manakala petrol bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal pada RM2.05 seliter.
Selain itu, harga diesel bersubsidi di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dikekalkan pada RM2.15 seliter, sementara diesel di bawah program BUDI Diesel turut kekal pada RM2.10 seliter.
-Advertisement-
Kerajaan MADANI memaklumkan bahawa pendekatan yang dilaksanakan bertujuan mengimbangi kesan turun naik harga bahan api di pasaran global, di samping memastikan bantuan bersasar terus dinikmati oleh golongan yang layak.
Pada masa sama, kerajaan menegaskan komitmennya untuk terus mengambil langkah berhemah dalam mengurus penetapan harga bahan api, memastikan bekalan petroleum negara kekal stabil serta melindungi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara. – The Capital Post