Malaysia Perkasa Sistem Perlindungan Sosial ASEAN

Estimate Reading Time: < 1 minute

FILIPINA 23 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyertai ASEAN High-Level Social Protection Conference 2026 di Manila, Filipina bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam membangunkan sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif, responsif dan mampan.

Persidangan yang berlangsung pada 21 hingga 22 Julai 2026 itu dianjurkan oleh Department of Social Welfare and Development (DSWD), Filipina dengan kerjasama Asian Development Bank (ADB), menghimpunkan pembuat dasar, pakar serta rakan pembangunan dari seluruh negara ASEAN.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Masyarakat KPWKM, YBrs. Encik Asmar Asmadi Abdullah Sani yang hadir sebagai wakil SOMSWD Malaysia. Turut menyertai delegasi ialah wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia serta Bahagian Kesejahteraan Masyarakat KPWKM.

Dalam Sesi 6: Evidence-Based Governance and Regional Cooperation, Malaysia membentangkan kertas kerja bertajuk “The Structure and Governance of Social Protection in Malaysia” yang menerangkan pendekatan negara dalam memperkukuh tadbir urus perlindungan sosial melalui kerjasama strategik antara kementerian dan agensi.

-Advertisement-

Pembentangan tersebut turut mengetengahkan peranan MySPC serta penggunaan data dan pendigitalan menerusi Sistem Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta memastikan bantuan sosial dapat disalurkan dengan lebih bersasar kepada rakyat.

Persidangan berkenaan menjadi medan perkongsian pengalaman, amalan terbaik dan inovasi dalam pembangunan dasar perlindungan sosial, termasuk aspek penggunaan teknologi digital, tadbir urus berasaskan bukti serta pendekatan berteraskan komuniti.

Penyertaan Malaysia menerusi KPWKM mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial melalui kerjasama ASEAN, perkongsian pengetahuan dan pendekatan inovatif demi menjamin kesejahteraan rakyat serta pembangunan sosial yang lebih inklusif dan mampan. – The Capital Post