Khairy: Ucapan ‘Tak Kemas’ Dah Ditegur, Tak Perlu Dipanjangkan

Estimate Reading Time: 2 minutes

Linggi, 26 Julai 2026 (The Capital Post) – Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berpandangan isu membabitkan satu kenyataan kontroversi yang mencetuskan perdebatan mengenai kaum tidak wajar terus dipanjangkan selepas teguran telah dibuat.

Beliau berkata terdapat ucapan yang disifatkannya sebagai “tidak kemas” dan “tidak cantik”, namun perkara itu telah ditegur dan sewajarnya dianggap selesai.

“Ada sedikit sebanyak ucapan yang tak kemas sangat, tak cantik sangat, semalam, dah ditegur pun, dan saya rasa kita ketepikan, dah ditegur, selesai,” katanya ketika program sembang santai bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi di sini.

Kenyataan Khairy itu dipercayai merujuk kepada polemik yang tercetus susulan ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dalam satu ceramah politik apabila beliau berkata: “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada Cina, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”

Ucapan tersebut mengundang pelbagai reaksi dan kritikan selepas ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai menyentuh sensitiviti kaum dalam masyarakat majmuk Malaysia. Sanusi bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dengan mendakwa ucapan itu telah dipetik di luar konteks.

-Advertisement-

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut mengulas isu sama dengan menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai ketinggalan zaman serta mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan sentimen perkauman.

“Kalau nak berkawan, berkawanlah secara ikhlas. Kalau tidak, duduk sahaja di Kedah dan tumpukan kepada mentadbir negeri,” katanya ketika berucap pada program bersama masyarakat India di Majestic Hall, Port Dickson pada Sabtu, 25 Julai.

Ahmad Zahid turut menegaskan Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan semua pemimpin politik perlu bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian serta perpaduan rakyat.

Kenyataan Khairy dan Ahmad Zahid dilihat menambah perhatian terhadap kontroversi yang tercetus susulan ucapan Sanusi, ketika isu perpaduan kaum terus menjadi antara topik utama dalam landskap politik negara. – The Capital Post.