BN Tegas Tolak Politik Perkauman

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 26 Julai 2026 (The Capital Post) – Barisan Nasional (BN) menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan politik kesederhanaan, kestabilan dan perpaduan, sambil menolak sebarang kenyataan berunsur perkauman serta politik ketakutan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebagai gabungan politik pelbagai kaum yang telah membuktikan kejayaannya selama lebih enam dekad, BN kekal berpegang kepada prinsip perkongsian kuasa, saling menghormati dan kesederhanaan sebagai asas pembangunan negara.

Menurut beliau, rekod tersebut menjadi kekuatan BN dalam mengekalkan kestabilan politik, keharmonian masyarakat serta kemajuan negara, sambil menegaskan bahawa politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut kaum tidak lagi mempunyai tempat dalam Malaysia yang menghampiri tujuh dekad kemerdekaan.

Beliau berkata, BN tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Pada masa sama, Zambry turut menolak politik ketakutan yang dimainkan oleh pihak tertentu dengan menggambarkan kononnya sesuatu kaum akan terancam sekiranya kerjasama politik parti tertentu memerintah.

-Advertisement-

Katanya, pendekatan sedemikian hanya akan mengundang perasaan curiga, prasangka dan kebencian, sekali gus menjejaskan usaha memperkukuh perpaduan nasional.

Mengulas mengenai kerjasama politik yang diwujudkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau menjelaskan bahawa persefahaman tersebut sama sekali tidak bermaksud BN menggadaikan prinsip perjuangannya atau menerima naratif politik mana-mana pihak.

Sebaliknya, BN kekal berdiri atas prinsip sendiri dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta formula kenegaraan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak sah semua warganegara sebagai asas pembinaan negara.

Zambry berkata, BN akan terus menolak mana-mana pihak yang membina tembok perkauman dan meniupkan politik ketakutan, sebaliknya kekal komited membina jambatan perpaduan, mengukuhkan keyakinan rakyat serta menawarkan masa depan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia. – The Capital Post.