JOHOR BAHRU 27 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneruskan usaha memperkukuh ekosistem penjagaan negara menerusi Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh bagi Pembangunan Piawaian Penjagaan Nasional Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas Zon Selatan yang berlangsung di Johor Bahru pada 25 Julai 2026.
Sesi tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, dan menghimpunkan wakil daripada pelbagai sektor bagi mendapatkan pandangan, pengalaman serta cadangan dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan penjagaan kepada golongan OKU dan warga emas.
Program anjuran Sekretariat Sektor Penjagaan KPWKM itu memberi fokus kepada pembangunan piawaian penjagaan yang lebih tersusun, praktikal dan selari dengan keperluan semasa. Antara aspek yang diberi perhatian termasuk keselamatan penerima penjagaan, tahap kompetensi penjaga, kebajikan golongan yang menerima perkhidmatan serta kualiti pengurusan oleh penyedia penjagaan.
Sebagai kementerian peneraju sektor penjagaan negara, KPWKM menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor industri, pertubuhan bukan kerajaan, institusi akademik dan komuniti dalam membentuk sistem penjagaan yang lebih selamat, berkualiti, mampan serta berteraskan keperluan insan.
-Advertisement-
Pandangan dan cadangan yang dikemukakan sepanjang sesi libat urus tersebut akan diteliti sebagai input penting dalam pembangunan Piawaian Penjagaan Nasional OKU dan Warga Emas, selaras dengan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026–2030.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM, Encik Mohd Daud bin Mohd Arif, serta Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Puan Wan Noraidah binti Wan Mohd Zain. – The Capital Post