SEREMBAN 30 Julai 2026, (The Capital Post) – Calon BERSATU bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Leevinesh Murugan, menggariskan lima komitmen utama yang akan diberi keutamaan dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya diberikan mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Menurut Leevinesh Murugan, komitmen tersebut dirangka berdasarkan keperluan sebenar masyarakat setempat dan akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh penduduk DUN Sri Tanjung.
Antara inisiatif yang diumumkan termasuk pembangunan Aplikasi Pusat Khidmat Rakyat DUN Sri Tanjung bagi memudahkan penduduk menyalurkan aduan dan mendapatkan perkhidmatan, selain usaha mempertingkatkan pengurusan trafik pada waktu puncak dengan kerjasama RELA serta sukarelawan.
-Advertisement-
Beliau turut berhasrat memperkenalkan Pusat Tuisyen Percuma untuk pelajar yang memerlukan, melaksanakan Skim Khairat Kematian Percuma bagi membantu meringankan beban keluarga, serta menubuhkan Koperasi Usahawan Sri Tanjung sebagai platform memperkasa usahawan tempatan, khususnya golongan belia.
Leevinesh Murugan turut menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Sri Tanjung tanpa mengira keputusan pilihan raya, dengan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat serta pembangunan komuniti setempat. – The Capital Post