Penyerahan Jalur Gemilang Semarak Hari Kebangsaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 31 Julai 2026, (The Capital Post) – Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Komunikasi yang juga Urus Setia Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Harun Ali, telah menyampaikan Jalur Gemilang kepada Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis Aidi Sham Mohamed, dalam satu majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada Khamis.

Inisiatif penyerahan Jalur Gemilang itu dilaksanakan sebagai usaha menyemarakkan semangat cintakan negara serta memperkukuh penghayatan patriotisme dalam kalangan agensi yang terlibat menjelang Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dijadual berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos depan.

Program tersebut turut melambangkan penghargaan Kementerian Komunikasi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai antara rakan strategik utama yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya.

-Advertisement-

Kerjasama erat antara kementerian dan agensi keselamatan itu diharap dapat menyumbang kepada penganjuran sambutan yang berjalan lancar, selamat serta menyatukan semangat rakyat dalam meraikan Hari Kebangsaan tahun ini. – The Capital Post