Dun Linggi : “Undi Faizal Ramli, Tolak Calon Luar” – Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Rasah

Estimate Reading Time: 2 minutes

PORT DICKSON, 31 Julai 2026 (The Capital Post) – Aktivis masyarakat yang juga bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Rasah, En. Thangam, menggesa masyarakat India di DUN Linggi supaya membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan dan bukan janji yang ditawarkan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Ketua Cabang PKR Port Dickson, tidak pernah melawat komuniti India di kawasan Linggi & Pasir Panjang sepanjang tiga tahun lalu atas kapasiti sebagai ketua cabang, sebaliknya hanya dilihat lebih kerap mendekati masyarakat apabila musim pilihan raya bermula.

“MB Amin kata hendak bina pelabuhan di Linggi, tetapi perkara itu hanya disebut apabila sudah masuk musim pilihan raya. Jangan tertipu dengan janji-janji mereka kepada masyarakat India,” katanya ketika berucap dalam satu program bersama penduduk di Taman Sengkang, Linggi.

Menurut Thangam, beliau mengenali Aminuddin sejak sekian lama dan mendakwa Menteri Besar itu akan mengelak daripada bersemuka dengannya.

“Saya kenal Amin. Amin sentiasa takut hendak duduk berdepan dengan saya sewaktu mesyuarat,” dakwanya.

-Advertisement-

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pengundi memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli, yang disifatkannya sebagai anak tempatan Port Dickson dan lebih memahami keperluan masyarakat setempat.

“Linggi jangan undi calon luar. Pilih calon tempatan yang memahami denyut nadi rakyat,” katanya lagi.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato Seri Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bertanding di kerusi DUN Linggi dalam pertandingan tiga penjuru menentang penyandang BN, Datuk Mohd Faizal Ramli, dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Zamri Md Said. Hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos 2026, manakala DUN Linggi mempunyai seramai 20,387 pengundi berdaftar.

Kenyataan Thangam itu dibuat ketika semua parti politik sedang mempergiatkan kempen bagi meraih sokongan pengundi menjelang hari pengundian, dengan isu pembangunan, kebajikan masyarakat serta rekod perkhidmatan calon terus menjadi antara fokus utama dalam saingan di DUN Linggi. – The Capital Post.