TDA Perkasa TVET dan Tenaga Boleh Baharu di Sabah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU 31 Julai 2026, (The Capital Post) – Technology Depository Agency Bhd (TDA) melaksanakan dua inisiatif strategik di bawah Projek Pencawang Masuk Utama (PMU) Beaufort bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta tenaga boleh baharu di Sabah.

Inisiatif berkenaan merangkumi sumbangan peralatan elektrik untuk tujuan pengajaran dan penyelidikan, selain penubuhan Pusat Latihan dan Penyelidikan Tenaga Boleh Baharu di Politeknik Kota Kinabalu. Program tersebut dilaksanakan menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP) Kementerian Kewangan yang dipantau oleh TDA bagi menyokong pemindahan teknologi, pembangunan modal insan serta memperkukuh keupayaan industri tempatan melalui projek perolehan kerajaan terpilih.

Pengerusi TDA, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, Program Kolaborasi Industri membuktikan bahawa perolehan strategik kerajaan mampu memberi manfaat lebih besar daripada pembangunan infrastruktur semata-mata dengan menjana nilai mampan melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan perkongsian kepakaran. Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi akademik akan membantu melahirkan tenaga kerja tempatan yang lebih berdaya saing bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi berteknologi tinggi.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Unimekar Sdn. Bhd., Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu. Menerusi inisiatif tersebut, alat suis dan alatubah akan dibekalkan kepada UMS dan Politeknik Kota Kinabalu sebelum diubah suai menjadi model latihan bagi membolehkan pelajar mempelajari komponen dalaman, prinsip kejuruteraan dan operasi sistem elektrik voltan tinggi secara praktikal.

-Advertisement-

Kerjasama berkenaan turut melibatkan pembangunan modul latihan oleh pakar industri dan institusi akademik bagi memastikan graduan memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan semasa industri. Selain itu, Pusat Latihan dan Penyelidikan Tenaga Boleh Baharu yang dibangunkan dengan pelaburan RM156,000 bakal menjadi kemudahan pertama di Sabah yang menawarkan Pensijilan Reka Bentuk Sistem Off Grid Photovoltaic (OGPV) yang diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga Sabah.

Kemudahan itu dijangka mampu menampung sekitar 30 peserta bagi setiap sesi latihan melibatkan pelajar, pensyarah dan pemain industri, selain menyokong penyelidikan tenaga boleh baharu, pensijilan profesional serta program peningkatan dan latihan semula kemahiran. Projek ICP PMU Beaufort dilihat mampu memperkukuh pembangunan bakat tempatan, mempercepat pemindahan teknologi dan meningkatkan penyertaan industri sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI. – The Capital Post