KPM Perkukuh Keselamatan dan Kesejahteraan Murid

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 22 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh agenda kesejahteraan dan keselamatan murid menerusi Sesi Gallery Walk Makmal Kesejahteraan dan Keselamatan Murid yang berlangsung di Mimosa Event Hall, Shaftsbury Putrajaya dari 17 hingga 21 Ogos 2026.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, turut menghadiri sesi tersebut yang menjadi platform untuk mengetengahkan hasil perbincangan serta perkembangan inisiatif strategik berkaitan aspek kesejahteraan dan keselamatan murid.

Program berkenaan melibatkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk agensi di luar KPM, bagi memastikan pendekatan yang dirangka dapat menangani keperluan murid secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Dalam sesi tersebut, YB Fadhlina menekankan kepentingan mengambil kira pandangan serta keperluan murid dalam proses pembentukan dasar dan pelaksanaan inisiatif berkaitan kesejahteraan serta keselamatan mereka.

-Advertisement-

Beliau turut memberi perhatian kepada keperluan memperkukuh dasar perlindungan kanak-kanak, meningkatkan latihan dan kesiapsiagaan guru serta mempererat kerjasama antara agensi bagi memastikan tindakan dan intervensi yang dilaksanakan mampu memberi impak positif kepada murid.

Usaha tersebut mencerminkan komitmen KPM untuk mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih selamat, inklusif dan menyokong perkembangan murid secara menyeluruh.

Pendekatan bersepadu antara KPM dan pihak berkepentingan juga dilihat penting dalam memastikan aspek keselamatan serta kesejahteraan murid terus menjadi keutamaan dalam pembangunan sistem pendidikan negara. – The Capital Post