KUALA LUMPUR 24 OGOS 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) berjaya melaksanakan proses External ANSI National Accreditation Board (ANAB) Reassessment of ISO/IEC 17025:2017 Accreditation bagi tempoh 17 hingga 21 Ogos 2026.
Penilaian semula tersebut dilaksanakan secara fizikal dan dalam talian melibatkan makmal KIMIA Malaysia di seluruh negara bagi semua disiplin di bawah Pusat Analisis Sains Forensik (Pusat FORENSIK).
Seramai 33 juruaudit daripada ANAB yang diketuai oleh Deedra Hughes terlibat dalam proses pengauditan berkenaan. Pasukan juruaudit terdiri daripada individu dengan pelbagai latar belakang dalam bidang forensik serta mewakili kepakaran dari beberapa negara.
Pelaksanaan penilaian semula itu bertujuan memastikan KIMIA Malaysia terus memenuhi keperluan standard yang ditetapkan bagi mengekalkan akreditasi ANAB ISO/IEC 17025:2017 untuk perkhidmatan analisis yang disediakan oleh Pusat FORENSIK.
-Advertisement-
Akreditasi tersebut penting dalam memastikan perkhidmatan analisis forensik yang dilaksanakan memenuhi tahap kompetensi, kebolehpercayaan dan kualiti yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Kejayaan pelaksanaan audit berkenaan turut mencerminkan komitmen warga KIMIA Malaysia dalam mengekalkan standard profesional dan teknikal yang tinggi bagi menyokong penyampaian perkhidmatan analisis sains forensik negara.
Penghargaan dan tahniah diberikan kepada seluruh warga KIMIA Malaysia serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan proses penilaian semula tersebut berjalan dengan lancar. – The Capital Post