JAIS Selangor Perkukuh Penguatkuasaan Dengan Kamera Badan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM 24 OGOS 2026 (The Capital Post) – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperkukuh aspek integriti dan ketelusan dalam pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang Islam menerusi penyerahan kamera badan (body-worn camera) kepada Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) Negeri Selangor, semalam.

Majlis yang dianjurkan Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS itu berlangsung di Bilik Sakinah, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam selepas Program Bacaan Enakmen Bil. 4/2026.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS merangkap Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Negeri Selangor, YBhg. Tuan Mohd Hidayat bin Abd. Rani. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Puan Nazihan binti Idris.

Penggunaan kamera badan ketika anggota PPA menjalankan tugas penguatkuasaan dilihat sebagai mekanisme sokongan untuk memperkukuh integriti serta meningkatkan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Inisiatif tersebut juga bertujuan meningkatkan tahap ketelusan dan keberkesanan proses pengauditan, selain memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan berdasarkan tatacara perundangan, arahan tetap dan garis panduan yang berkuat kuasa.

-Advertisement-

Dalam amanatnya, Tuan Mohd Hidayat turut menekankan kepentingan semangat kerja berpasukan serta pemeliharaan tahap integriti yang tinggi dalam kalangan anggota PPA ketika melaksanakan tanggungjawab.

Beliau turut mengingatkan anggota supaya memahami dan mematuhi tatacara pengurusan kamera badan serta prosedur berkaitan bagi memastikan penggunaannya selaras dengan ketetapan penguatkuasaan.

Penggunaan teknologi tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu dan kualiti perkhidmatan JAIS, khususnya dalam memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang Islam di negeri Selangor secara lebih telus, profesional dan berintegriti. – The Capital Post