Keselamatan Kesihatan Jadi Agenda Penting Keselamatan Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 25 OGOS 2026 (The Capital Post) – Keselamatan kesihatan perlu diberi perhatian sebagai salah satu komponen utama dalam agenda keselamatan negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kesiapsiagaan sistem kesihatan dan daya tahan negara terus terpelihara.

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menyampaikan pandangan tersebut ketika dijemput menyampaikan ucaptama dalam Sesi Ceramah Eksekutif anjuran Maktab Ketahanan Nasional (NRC) di Maktab Ketahanan Nasional, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), semalam.

Kehadiran beliau disambut oleh Komandan NRC, Mejar Jeneral Dato’ Saiful Bahari bin Zainol, sebelum menyampaikan ucaptama bertajuk “Health Security for a Secure and Prosperous Malaysia: Maintaining The Wellbeing of The Population”.

Sesi berkenaan disertai 23 peserta Kohort Ketujuh NRC, termasuk lima peserta antarabangsa dari Singapura, Thailand, Indonesia, India dan Pakistan. Para peserta terdiri daripada pegawai berpangkat Kolonel dan Brigedier Jeneral atau pegawai yang setaraf.

Dalam ucapannya, Dzulkefly menegaskan bahawa ancaman terhadap keselamatan kesihatan kini semakin kompleks dan tidak lagi terhad kepada pandemik atau penyakit berjangkit semata-mata.

-Advertisement-

Antara cabaran yang turut diberi perhatian termasuk rintangan antimikrob, gangguan terhadap rantaian bekalan ubat, vaksin dan peranti perubatan, serangan siber ke atas sistem kesihatan, penyalahgunaan kecerdasan buatan serta penyebaran maklumat palsu yang berpotensi menjejaskan keyakinan masyarakat.

Beliau turut menyentuh usaha Malaysia dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keupayaan negara untuk memberikan respons terhadap sebarang krisis yang melibatkan sistem kesihatan.

Menurut beliau, pendekatan keseluruhan kerajaan (Whole-of-Government) dan keseluruhan masyarakat (Whole-of-Society) perlu diperkasakan bagi memastikan kesihatan rakyat, tenaga kerja, infrastruktur kritikal serta kepercayaan awam sentiasa dilindungi.

Usaha tersebut penting dalam membina sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan, sekali gus menjadikan keselamatan kesihatan sebagai asas kepada sebuah Malaysia yang selamat, makmur dan bersedia menghadapi ancaman masa hadapan. – The Capital Post