PUTRAJAYA 25 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkukuh sektor penjagaan negara menerusi Inisiatif Sektor Penjagaan KPWKM di bawah Belanjawan MADANI 2026 yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, semalam.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Kempen Penjagaan KPWKM sebagai usaha membentuk budaya penjagaan berkualiti yang melibatkan keluarga, komuniti dan masyarakat secara menyeluruh.
Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan Piawaian Penjagaan Nasional serta pelaksanaan program latihan bagi membentuk ekosistem penjagaan yang lebih tersusun, profesional, berkualiti dan mampan.
Selaras dengan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026–2030, KPWKM menyasarkan untuk melahirkan 50,000 penjaga berkemahiran menjelang 2030. Usaha ini turut dijangka membuka lebih banyak ruang pekerjaan, peluang keusahawanan serta laluan kerjaya profesional dalam sektor penjagaan.
Kempen Penjagaan KPWKM yang membawa tema “Ilmu Menjaga, KASIH Dirasa” pula mengangkat nilai KASIH yang merangkumi Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu serta Harmoni.
-Advertisement-
Menerusi gagasan “Kita Sama Jaga”, semua pihak digalakkan memainkan peranan secara bersama dalam membina persekitaran penjagaan yang menyokong kesejahteraan keluarga, produktiviti wanita serta kebajikan golongan yang memerlukan penjagaan.
Pendekatan berkenaan turut menekankan kepentingan menghargai peranan penjaga dan memastikan individu yang menerima penjagaan dapat menjalani kehidupan dengan selamat, bermaruah dan sejahtera.
Majlis tersebut menghimpunkan kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemain industri serta pemegang taruh sektor penjagaan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, bersama ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan. – The Capital Post