PUTRAJAYA 25 OGOS 2026 (The Capital Post) – Persiapan penyediaan Belanjawan 2027 diteruskan menerusi Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang memberi tumpuan kepada agenda kelestarian alam serta pengurusan sumber asli secara mampan.
Sesi berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup. Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, pegawai kanan Kementerian Kewangan (MoF) dan NRES serta Pasukan Belanjawan 2027.
Perbincangan memberi penekanan kepada cadangan strategik bagi memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti serta meningkatkan keberkesanan pengurusan sumber asli dan kawasan perlindungan negara.
Selain itu, sesi libat urus tersebut turut meneliti langkah untuk memperkukuh daya tahan alam sekitar serta memastikan agenda kelestarian dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
-Advertisement-
Pendekatan berkenaan dilihat penting dalam memastikan pengurusan sumber asli negara dilaksanakan secara lebih berkesan dan bertanggungjawab, selain mengambil kira keperluan pembangunan serta kelangsungan alam sekitar untuk jangka panjang.
Dalam masa sama, kerajaan menggalakkan orang ramai untuk memainkan peranan dalam pembentukan Belanjawan 2027 dengan mengemukakan idea, pandangan dan cadangan menerusi Portal Cadangan Belanjawan Kementerian Kewangan.
Penglibatan masyarakat diharap dapat membantu kerajaan memahami keperluan rakyat dengan lebih menyeluruh serta memastikan perancangan Belanjawan 2027 terus mengambil kira kepentingan ekonomi, alam sekitar dan kesejahteraan rakyat. – The Capital Post