MOSTI Semarakkan Sambutan Maulidur Rasul Kebangsaan 1448H

Estimate Reading Time: < 1 minute

SERDANG 26 OGOS 2026 (The Capital Post) – Warga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyertai perarakan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1448H/2026 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan kepentingan penghayatan nilai Islam dalam kehidupan seharian menerusi tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”.

Dalam amanatnya, Perdana Menteri mengajak umat Islam untuk terus melakukan muhasabah diri, mempertingkat keperibadian serta menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dalam membentuk kehidupan bermasyarakat yang lebih harmoni. Penghayatan terhadap ajaran dan teladan Baginda dilihat penting dalam memperkukuh sikap saling menghormati, perpaduan serta kesejahteraan ummah.

Pada sambutan kali ini, MOSTI turut merakamkan tahniah kepada Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Azman bin Syed Ibrahim yang menerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul, selain lapan penerima lain yang turut menerima Anugerah Maulidur Rasul SAW.

-Advertisement-

Selaras dengan nilai yang dibawa melalui sambutan tersebut, MOSTI menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh budaya kerja berteraskan amanah, integriti dan ihsan dalam kalangan warga kementerian. Usaha berkenaan dilihat penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti serta memberi manfaat kepada rakyat.

Sempena Maulidur Rasul, seluruh warga MOSTI turut menzahirkan penghormatan dan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta menjadikan ajaran dan akhlak Baginda sebagai pedoman dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara – The Capital Post