Malaysia–ILO Perkukuh Kerjasama Agenda Pekerjaan Bermaruah

Estimate Reading Time: < 1 minute

THAILAND 26 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh hubungan strategik dengan International Labour Office (ILO) menerusi perbincangan berkaitan agenda pekerjaan bermaruah dan pelaksanaan kerjasama di bawah kerangka Decent Work Country Programme (DWCP) 2026–2030.

Setiausaha Bahagian Antarabangsa KESUMA, YBhg. Datin Sri Norfaliza binti Ismail, mengadakan pertemuan bersama delegasi ILO yang diketuai Timbalan Pengarah Serantau Pejabat Wilayah Asia-Pasifik (ROAP) di Bangkok, Encik Tuomo Poutiainen, pada sela-sela mesyuarat yang berlangsung di ibu negara Thailand itu.

Pertemuan tersebut turut disertai Setiausaha Bahagian Dasar KESUMA, Puan Grace a/p Dairiam, Ketua Penasihat Teknikal Projek PROTECT, Cik Sophia Kagan, Pegawai Teknikal Program, Cik Ratna Mathai-Luke serta Pegawai Perhubungan ILO, Cik Napaporn Hwan Udomchaiporn.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah perancangan pelaksanaan pelan kerja bagi tahun 2026, selain langkah untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan ILO melalui projek-projek di bawah DWCP 2026–2030. Kerjasama berkenaan dijangka terus menyokong usaha memperkasa sektor pekerjaan dan perburuhan negara.

-Advertisement-

Perbincangan turut memberi perhatian kepada persediaan bagi penganjuran National Project Advisory Committee (NPAC) yang dirancang pada suku keempat tahun ini. Platform tersebut akan berperanan dalam meningkatkan penyelarasan, pemantauan serta kerjasama antara pihak berkepentingan dalam pelaksanaan projek berkaitan.

Malaysia turut menegaskan komitmen untuk meneruskan kerjasama dengan ILO dalam usaha memperkukuh standard perburuhan negara agar terus selari dengan perkembangan dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

Kerjasama strategik Malaysia–ILO itu mencerminkan usaha berterusan KESUMA dalam membangunkan ekosistem pekerjaan yang adil, inklusif dan berteraskan prinsip pekerjaan bermaruah, sekali gus menyokong kesejahteraan pekerja serta pembentukan pasaran buruh yang progresif dan mampan – The Capital Post