SELANGOR 27 OGOS 2026 (The Capital Post) – Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela dari daerah Kuala Selangor muncul juara Pertandingan Bicara Berirama Kepenggunaan Peringkat Sekolah Rendah Negeri Selangor 2026 yang berlangsung di Auditorium Aula Perdana, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat.
Pertandingan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor serta Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat itu menghimpunkan murid sekolah rendah bagi mengetengahkan kreativiti dalam menyampaikan mesej berkaitan kesedaran dan pendidikan kepenggunaan.
Penganjuran tahun ini memberi fokus kepada tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, “Suara Kita, Kuasa Kita”, dengan penekanan khusus terhadap kepentingan menjadi pengguna yang bijak ketika melakukan pembelian secara dalam talian.
SK Dato’ Maharaja Lela meraih tempat pertama dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, hamper dan sijil pencapaian. SK Kampung Rinching dari daerah Hulu Langat pula dinobatkan sebagai naib juara dengan hadiah RM2,000, hamper dan sijil pencapaian.
Tempat ketiga dimenangi SK TUDM Subang dari daerah Petaling Perdana dengan hadiah RM1,000, hamper dan sijil pencapaian. Sementara itu, SK Lembah Subang dari Petaling Utama dan SK Dato’ Abu Bakar Baginda dari Sepang masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima, dengan setiap sekolah menerima RM300, hamper serta sijil pencapaian.
-Advertisement-
Dalam kategori anugerah khas, SK Dato’ Maharaja Lela turut menerima pengiktirafan Skrip Terbaik, manakala SK Lembah Subang memenangi Anugerah Konduktor Terbaik. Kedua-dua penerima menerima wang tunai RM300 dan sijil pencapaian.
Pertandingan tersebut turut mendapat sokongan barisan juri yang terdiri daripada wakil KPDN Selangor serta warga pendidik daripada beberapa sekolah di Selangor. Penglibatan semua sekolah yang bertanding turut dihargai sebagai sebahagian daripada usaha menyemai ilmu dan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan generasi muda.
Program berkenaan diharap dapat membentuk murid yang lebih peka terhadap hak dan tanggungjawab sebagai pengguna, khususnya dalam membuat keputusan pembelian secara berhemah, selamat dan bertanggungjawab dalam era digital – The Capital Post