Pasaran Bon Global Kekal Menarik Ketika Jangkaan Kadar Faedah AS Berubah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 (The Capital Post) – Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat dilihat masih mempunyai alasan kukuh untuk menaikkan kadar faedah berikutan inflasi yang kekal tinggi dan pasaran buruh yang stabil, namun kenaikan pada mesyuarat September semakin kurang berkemungkinan susulan data inflasi yang menunjukkan penyederhanaan berturut-turut.

Menurut Global Fixed Income Strategist Schroders, James Bilson, perkembangan inflasi terkini mendorong pihaknya meningkatkan kebarangkalian senario kadar faedah “Just right” kepada 60 peratus, sekali gus menjadikannya senario asas ketika ini, manakala kebarangkalian senario paling hawkish “Too hot” dikurangkan.

Perubahan jangkaan itu menyebabkan Schroders mengekalkan pandangan overweight terhadap tempoh matang aset bon global atau global duration, selain menaik taraf pandangan terhadap bon Amerika Syarikat kepada positif kerana ruang untuk prestasi yang lebih rendah berbanding pasaran lain dilihat semakin terhad.

Bilson berkata perkembangan di Timur Tengah dan prospek tenaga global akan terus menjadi faktor penting yang mempengaruhi pasaran bon, namun tahap hasil bon global ketika ini dilihat menarik dari perspektif penilaian.

Beliau turut mengkritik kekurangan kejelasan mengenai objektif dasar monetari Fed, khususnya berkaitan ukuran inflasi yang perlu diberi keutamaan, tempoh untuk mengembalikan inflasi kepada sasaran serta tahap inflasi yang dianggap boleh diterima.

Menurutnya, pengurangan panduan dasar oleh kepimpinan Fed tidak semestinya menjadi masalah kerana terlalu banyak panduan boleh menghasilkan ketepatan palsu terhadap perkara yang sememangnya sukar diramal. Bagaimanapun, objektif dasar perlu dinyatakan dengan jelas bagi memberikan arah yang lebih kukuh kepada pasaran.

Dalam perkembangan serantau, Schroders turut meningkatkan pandangan terhadap bon Kanada susulan pasaran buruh negara itu yang semakin stabil serta prospek pertumbuhan yang masih baik. Namun, jangkaan pasaran terhadap pengetatan dasar Bank of Canada dilihat terlalu agresif, sekali gus mewujudkan peluang menarik dalam bon jangka pendek.

-Advertisement-

Sebaliknya, pandangan terhadap bon kerajaan United Kingdom menjadi kurang positif berikutan kebimbangan inflasi akan meningkat menjelang penghujung tahun, walaupun perkembangan inflasi teras baru-baru ini menunjukkan trend yang lebih baik.

Bon Jepun pula diturunkan penilaiannya berikutan jangkaan bahawa Bank of Japan perlu mengetatkan dasar monetari dengan lebih agresif susulan prospek inflasi dan kelemahan yen yang berterusan.

Bagi peruntukan aset, bon kerajaan Eropah Timur kekal sebagai pilihan utama Schroders selepas rantau berkenaan dinaik taraf. Bon Hungary khususnya dilihat masih mempunyai potensi kenaikan walaupun telah mencatat prestasi kukuh sepanjang tahun ini, didorong perubahan prospek politik selepas kemenangan Peter Magyar.

Schroders menjangkakan perkembangan seterusnya yang boleh menyokong prestasi bon Hungary ialah hala tuju kerajaan baharu ke arah penggunaan euro, yang memerlukan dasar ekonomi dan fiskal lebih pragmatik.

Sementara itu, risiko politik di Perancis dan Itali menjelang pilihan raya 2027 turut diberi perhatian, dengan penilaian semasa dilihat lebih menarik bagi bon kerajaan Perancis berbanding Itali. Dalam pasaran kredit korporat pula, Schroders mengekalkan pandangan neutral kerana asas makroekonomi masih kukuh, tetapi penilaian aset dilihat kurang menarik. – The Capital Post