Vesel Pukat Tunda Ditahan Langgar Syarat Lesen Perikanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

LUMUT, 8 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak menahan sebuah vesel pukat tunda Kelas C yang disyaki melanggar beberapa syarat lesen perikanan di perairan tenggara Pulau Nipis, Perak, pada Ahad lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira jam 2 petang selepas dikesan sedang menjalankan aktiviti perikanan pada jarak sekitar 6.7 batu nautika dari Pulau Nipis.

Menurut beliau, vesel itu dikesan oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin menerusi Op SAYONG, Op KHAS TANJUNG 2 dan Op TIRIS di sekitar perairan berkenaan.

Pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong bersama seorang kru warga Malaysia serta tiga kru warga Myanmar berusia antara 39 hingga 67 tahun.

Siasatan awal mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam jarak kurang daripada 15 batu nautika dari pantai, menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran serta menggunakan pukat yang mempunyai ukuran mata kurang daripada 38 milimeter.

-Advertisement-

Pihak berkuasa turut menemukan kira-kira 200 kilogram ikan campur serta peralatan menangkap ikan berupa pukat tunda di atas vesel berkenaan.

Dalam pemeriksaan sama, tiga kru warga Myanmar turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja.

Kesemua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan penguatkuasaan di perairan negara akan terus diperkasakan bagi memastikan aktiviti perikanan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta syarat lesen yang ditetapkan. – The Capital Post