Jabatan Pertanian Kota Tinggi Serah Pensijilan myGAP, Mesin IAT

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA TINGGI, 8 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Pejabat Pertanian Daerah Kota Tinggi melaksanakan Lawatan Pengembangan Pegawai Pertanian Daerah di Mukim Ulu Sungai Johor yang turut disertai penyerahan pensijilan myGAP serta Mesin Kecil Industri Asas Tani (IAT) kepada pengusaha pertanian yang terlibat.

Penyerahan berkenaan disampaikan oleh Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi, Mohd Hafizh bin Hussain, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan serta bimbingan kepada petani dan usahawan sektor pertanian di daerah berkenaan.

Tiga pengusaha pertanian menerima pensijilan myGAP, iaitu Tan Lee Kiat dan Phang Tuck Kong bagi tanaman durian, serta Anas Elias bin Bulliah yang mengusahakan tanaman fertigasi timun.

Pensijilan myGAP merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada pengusaha yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik dalam pengurusan ladang, termasuk aspek penghasilan produk berkualiti dan selamat, penjagaan alam sekitar serta pengurusan operasi ladang yang sistematik.

Dalam lawatan sama, Mesin Kecil Industri Asas Tani (IAT) turut diserahkan kepada Norzieyana binti Mohd Podzi yang mengusahakan produk bakeri.

-Advertisement-

Bantuan berkenaan diharap dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran, produktiviti dan kualiti produk IAT, selain membantu usahawan memperkukuh kapasiti operasi serta mengembangkan perniagaan mereka.

Turut hadir ialah APT Mukim Ulu Sungai Johor, Mohd Afifi bin Ariffin dan APIAT Daerah Kota Tinggi, Suhaidah binti Ardi.

Lawatan pengembangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pertanian dalam menyediakan khidmat bimbingan, sokongan teknikal dan pengembangan kepada petani serta usahawan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian di daerah Kota Tinggi. – The Capital Post