MERSING, 8 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Mersing mempergiat operasi penguatkuasaan sepanjang Ogos 2026 bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), khususnya di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.
Operasi yang dilaksanakan oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran itu melibatkan pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar daerah Mersing dengan tumpuan bukan sahaja terhadap kesalahan merokok di kawasan larangan, malah penggunaan produk merokok dalam kalangan orang belum dewasa.
Hasil pemeriksaan mendapati tindakan penguatkuasaan telah dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(2) Akta 852, kompaun sebanyak RM250 dikenakan tanpa sebarang pengurangan.
Penguatkuasaan turut melibatkan Seksyen 17(1) Akta 852 yang melarang orang belum dewasa daripada merokok, mengunyah atau menggunakan produk merokok dalam apa-apa cara. Kesalahan di bawah peruntukan tersebut boleh dikenakan kompaun sebanyak RM50.
Semua kompaun yang dikeluarkan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh kompaun. Kegagalan berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan boleh membawa kepada tindakan perundangan selanjutnya mengikut peruntukan Akta 852.
-Advertisement-
Menurut PKD Mersing, operasi penguatkuasaan bukan semata-mata bertujuan mengambil tindakan terhadap pelanggaran undang-undang, sebaliknya turut berperanan sebagai usaha pencegahan, pendidikan dan advokasi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya produk merokok.
Penguatkuasaan terhadap penggunaan produk merokok dalam kalangan orang belum dewasa juga penting bagi melindungi golongan muda daripada risiko ketagihan nikotin dan kesan buruk terhadap kesihatan, manakala pematuhan terhadap larangan merokok membantu mengurangkan pendedahan orang awam kepada asap rokok.
Anggota penguat kuasa Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran akan terus melaksanakan tanggungjawab secara tegas, profesional dan berintegriti bagi memastikan peruntukan Akta 852 dipatuhi serta kepentingan kesihatan awam terus terpelihara.
Orang ramai diseru supaya mematuhi kawasan larangan merokok dan bersama-sama melindungi golongan belum dewasa daripada pengaruh serta kemudaratan produk merokok. – The Capital Post