KUALA LUMPUR, 8 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (KESUKMA) antara wakil kesatuan yang terlibat dalam pertemuan strategik delegasi Majlis Gabungan Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pada 7 September 2026.
Dalam pertemuan itu, KESUKMA diwakili Presiden kesatuan, Barudin Baharin yang membawa suara serta aspirasi staf pelaksana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), khususnya berkaitan kebajikan, pembangunan kerjaya, kesejahteraan dan isu yang melibatkan warga kerja universiti awam.
Staf pelaksana dilihat sebagai antara kelompok penting dalam memastikan kelancaran operasi, penyampaian perkhidmatan dan pengurusan harian institusi pendidikan tinggi. Peranan serta pandangan kumpulan itu turut diberi perhatian dalam perbincangan berkaitan pembentukan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal atau One Higher Education Act (OHEA).
Pertemuan tersebut turut menekankan kepentingan hubungan yang harmoni antara kementerian, pihak pengurusan universiti dan warga kerja bagi memastikan institusi pendidikan tinggi dapat terus berkembang serta menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat dan negara.
-Advertisement-
KESUKMA turut menyatakan komitmen untuk terus berperanan sebagai penghubung dalam menyampaikan pandangan dan aspirasi staf pelaksana UKM, selain memperkukuh kerjasama strategik bersama KPT dan pihak pengurusan universiti.
Usaha itu dilihat penting bagi memastikan kepentingan warga kerja terus diberi perhatian seiring dengan agenda memperkasa serta meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi negara.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Ahmad Rizal bin Adnan; serta Setiausaha Agung KESUKMA, Siti Zaida Md. Nasir. – The Capital Post