Triple Alliance Bentuk Model Baharu Pendidikan Tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANDAR SUNWAY, 9 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Kerjasama strategik antara Monash University Malaysia, Sunway University dan Taylor’s University menerusi inisiatif Triple Alliance berpotensi menjadi model baharu dalam sektor pendidikan tinggi dengan menggabungkan kepakaran, kemudahan dan sumber tiga institusi bagi menghasilkan impak lebih besar kepada negara serta rantau.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata pendekatan berkenaan selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan kepentingan jaringan kerjasama antara institusi, selain melihat pendidikan tinggi melangkaui konsep kampus dan kemudahan fizikal semata-mata.

Menurut beliau, konsep universiti berasaskan hab dan satelit atau hub-and-spoke university merupakan antara pendekatan yang mampu menggalakkan perkongsian kepakaran akademik serta membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik.

Beliau berkata institusi pendidikan tinggi masih boleh bersaing untuk mencapai kecemerlangan masing-masing, namun pada masa sama perlu bekerjasama dalam menghasilkan manfaat yang lebih luas kepada masyarakat.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran rasmi Triple Alliance di Sunway Square Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Bandar Sunway, petang ini.

Dr. Zambry berkata kekuatan kerjasama tersebut terletak pada kemampuan ketiga-tiga universiti menggabungkan kelebihan masing-masing tanpa menjejaskan identiti serta standard kecemerlangan setiap institusi.

Kedudukan ketiga-tiga universiti dalam satu koridor pendidikan yang turut mempunyai hubungan dengan sektor kesihatan, perniagaan dan komuniti pula dilihat mampu menjadi asas kepada pembentukan kelompok ilmu dan inovasi atau knowledge and innovation cluster di Greater Kuala Lumpur.

Beliau turut menegaskan bahawa cabaran kompleks masa kini memerlukan pendekatan merentas institusi dan disiplin, dengan universiti perlu menggabungkan pelbagai kepakaran, pengalaman serta bidang ilmu bagi menghasilkan penyelesaian yang lebih menyeluruh.

-Advertisement-

Antara bidang yang diberi tumpuan menerusi Triple Alliance termasuk penyelidikan berkaitan kesihatan planet dan perubahan iklim, kesihatan digital, penggunaan kecerdasan buatan dalam penjagaan kesihatan, pembangunan mampan, bandar pintar serta transformasi sosial.

Kerjasama penyelidikan itu turut diperkukuh melalui Geran Penyelidikan Bersama Triple Alliance yang menghimpunkan penyelidik daripada ketiga-tiga universiti bersama rakan industri.

Secara keseluruhan, inisiatif berkenaan melibatkan lebih 70,000 pelajar dan warga kerja, dengan kerjasama merangkumi aspek pendidikan, penyelidikan, perkongsian sumber, kehidupan pelajar serta impak kepada komuniti.

Pelancaran Triple Alliance turut menampilkan persembahan sulung Triple Alliance Philharmonic Orchestra dan dihadiri barisan kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi serta ketiga-tiga universiti berkenaan.

Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengasas dan Pengerusi Sunway Group merangkap Canselor Sunway University, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Jeffrey Cheah; Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman; Presiden dan Naib Canselor Sunway University, Prof. Sibrandes Poppema serta Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Prof. Barry Winn.

Dalam pada itu, Dr. Zambry turut menghargai sumbangan endowmen berjumlah RM5 juta daripada Jeffrey Cheah Foundation bagi menyokong penubuhan dan pelaksanaan Triple Alliance.

Beliau berharap kerjasama tersebut tidak terhenti pada perancangan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang mampu memberikan manfaat nyata kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara. – The Capital Post