LABUAN 16 September 2026 (The Capital Post) – Program Rakan Bumi: Glamping Rakan Muda W.P. Labuan 2026 yang berlangsung pada 13 September lalu memberi penekanan terhadap aspek kesihatan mental, kawalan emosi serta interaksi bermasyarakat dalam kalangan golongan muda Generasi Z.
Program akar umbi yang dirangka berasaskan minat dan gaya hidup golongan muda itu menghimpunkan 51 peserta berusia antara 15 hingga 30 tahun, selain penyertaan 15 keluarga daripada komuniti campers dan glamping di Labuan serta sebuah keluarga dari Brunei Darussalam.
Sepanjang program tiga hari dua malam yang berlangsung di Pantai Kampung Sungai Labu, peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk sesi Love Yourself: Misi Menguasai Emosi, Adventure Therapy, Healing the Mind: Terapi Penyembuhan Emosi, Art Therapy – Penyerlahan Bakat dan Budaya serta Healing Session.
Program turut menampilkan aktiviti Beat of Life yang memberi pendedahan berkaitan CPR dan AED, selain senamrobik bersama instruktur Tony bagi menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan peserta.
Konsep keluarga angkat yang diterapkan dalam program kali ini menampilkan kelainan apabila peserta dipasangkan bersama komuniti glamping, berbanding konsep keluarga angkat yang lazimnya melibatkan komuniti desa atau taman perumahan.
-Advertisement-
Pendekatan santai itu memberi peluang kepada golongan muda berinteraksi dengan masyarakat daripada pelbagai generasi dan latar budaya, selain menggunakan aktiviti seperti memasak bersama keluarga angkat sebagai medium membina hubungan serta menggalakkan penyembuhan emosi secara tidak langsung.
Komuniti campers turut diraikan menerusi Pertandingan Glamping yang menawarkan hadiah keseluruhan RM700 kepada lima peserta dengan dekorasi glamping terbaik. Lima keluarga yang muncul pemenang ialah Soulmate Campers, White Butterfly Campers, IR Campers, Aniwan Campers dan Cinta Outdoor & Healing Campers.
Program berkenaan diharap dapat menyokong usaha melahirkan generasi muda yang positif, sihat dari segi fizikal dan mental serta mempunyai kemahiran mengurus emosi dan berinteraksi dengan masyarakat.
Inisiatif itu juga dilihat sebagai salah satu usaha membentuk persepsi yang lebih positif terhadap Gen Z melalui pendekatan program yang dekat dengan minat, kehidupan dan keperluan golongan muda masa kini – The Capital Post