Abdul Aziz Hadir Sambutan Hari Malaysia 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING 17 September 2026 (The Capital Post) – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid, menghadiri Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung malam tadi di Borneo Convention Centre Kuching.

Sambutan yang memasuki tahun ke-63 itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mengangkat tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan tahun ini mengetengahkan kepelbagaian budaya serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia menerusi persembahan tradisional dan kontemporari dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pengisian turut diserikan dengan persembahan kebudayaan berteraskan semangat “Segulai Sejalai” yang membawa maksud seiring dan sejalan, selain nyanyian lagu negeri Sarawak, “Ibu Pertiwiku” serta persembahan selamat datang kepada para tetamu.

-Advertisement-

Antara acara utama ialah pemotongan pulut kuning dan upacara menandatangani Buku Khas Pengisytiharan Malaysia oleh Perdana Menteri bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Turut hadir Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Dato’ Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; serta Pengarah Pengurusan merangkap Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah bersama isteri, Datin Dr. Nitce Isa Medina Machmudi Isa.

Kehadiran barisan kepimpinan PDRM dalam sambutan tersebut turut mencerminkan penyertaan pasukan keselamatan dalam meraikan detik penting pembentukan Malaysia serta semangat perpaduan rakyat yang menjadi asas keharmonian negara – The Capital Post