Malaysia Nilai Tenaga Nuklear Sebagai Pilihan Elektrik Bersih

Estimate Reading Time: < 1 minute

VIENNA 17 September 2026 (The Capital Post) – Malaysia menyatakan komitmen untuk menilai potensi tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan sumber elektrik bersih dalam usaha memperkukuh keselamatan serta keterjaminan bekalan tenaga negara.

Kenyataan itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YBhg. Dato’ Sri Haji Mad Zaidi Mohd Karli, ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Persidangan Agung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Ke-70 di Vienna, Austria, semalam.

Selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) 2050, Malaysia kini meneliti tenaga nuklear sebagai antara pilihan dalam memenuhi keperluan tenaga bersih pada masa hadapan.

Malaysia ketika ini berada pada Fasa 1 Pendekatan Berfasa IAEA, iaitu peringkat awal yang melibatkan penilaian terhadap keperluan, tahap kesediaan dan keupayaan negara berdasarkan 19 aspek infrastruktur tenaga nuklear yang ditetapkan.

Penilaian tersebut akan menjadi salah satu asas kepada Kerajaan dalam menentukan hala tuju serta membuat keputusan akhir berhubung kemungkinan pembangunan loji tenaga nuklear bagi tujuan penjanaan elektrik.

-Advertisement-

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia turut membuat persediaan untuk menghadapi Misi Penilaian Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) Fasa 1 sebagai sebahagian daripada proses penilaian kesiapsiagaan negara.

Pada persidangan berkenaan, Malaysia turut menegaskan kepentingan memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan nuklear diberi keutamaan, di samping memperkukuh kerjasama teknikal serta penggunaan teknologi nuklear untuk tujuan aman.

Penggunaan teknologi berkenaan turut dilihat berpotensi menyokong sektor seperti keterjaminan makanan, pertanian mampan dan pengurusan sumber air, selaras dengan usaha negara meneroka manfaat teknologi nuklear secara bertanggungjawab – The Capital Post