KUALA LUMPUR 17 September 2026 (The Capital Post) – Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Kolaborasi Strategik, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menganjurkan Kursus Asas Penjagaan Warga Emas Siri 10/2026 bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran dalam aspek penjagaan golongan berkenaan.
Kursus yang berlangsung selama empat hari dari 8 hingga 11 September 2026 itu disertai 84 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JKM negeri, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) serta institusi kebajikan warga emas.
Penganjuran kursus berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pemahaman peserta mengenai proses penuaan serta keperluan warga emas yang meliputi aspek fizikal, mental, emosi dan sosial.
Selain pengetahuan teori, peserta turut diberi pendedahan bagi membangunkan kemahiran praktikal dalam melaksanakan penjagaan harian warga emas secara selamat, mesra dan berkesan.
-Advertisement-
Pendekatan penjagaan secara holistik turut ditekankan bagi memastikan aspek maruah, kualiti hidup dan kesejahteraan warga emas sentiasa dipelihara dalam pelaksanaan tugas penjagaan.
Kursus tersebut juga diharap dapat memperkasa peranan penjaga melalui penguasaan ilmu, kemahiran serta pembentukan sikap positif, sekali gus membantu mereka menghadapi pelbagai cabaran dalam memberikan penjagaan yang berkualiti kepada warga emas – The Capital Post