36 Penerima Biasiswa KPM Ke UK Dan Jordan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 17 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 36 pelajar penerima Biasiswa Perguruan Persekutuan (BPP) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melanjutkan pengajian ke luar negara bagi mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Daripada jumlah itu, 14 pelajar melanjutkan pengajian ke United Kingdom, masing-masing tiga orang ke University of Manchester, empat orang ke University of York dan tujuh orang ke Cardiff University.

Sementara itu, seramai 22 pelajar lagi berangkat ke Jordan untuk melanjutkan pengajian, membabitkan 16 orang di Al al-Bayt University dan enam orang di University of Jordan.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad, turut menyantuni para pelajar sebelum keberangkatan mereka serta menyampaikan amanat agar mereka memanfaatkan peluang menimba ilmu dengan penuh kesungguhan.

-Advertisement-

Beliau turut mengingatkan para pelajar supaya sentiasa menjaga nama baik negara sepanjang berada di luar negara dan kembali menyumbang kepada pembangunan sektor pendidikan Malaysia selepas menamatkan pengajian.

Secara keseluruhannya, seramai 135 pelajar telah menerima tawaran biasiswa melalui Bahagian Tajaan Pendidikan KPM bagi melanjutkan pengajian ke luar negara sepanjang tahun 2026.

Peluang pendidikan berkenaan diharap dapat melahirkan barisan pendidik berilmu dan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara pada masa hadapan. – The Capital Post