Fadhlina Kongsi Kekuatan Memori Visual Anak Autisme

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 19 September 2026 (The Capital Post) – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkongsi pengalaman mengenai keunikan memori visual anaknya, Anwar, yang mempunyai autisme, khususnya minat mendalam terhadap bendera negara-negara di seluruh dunia.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Fadhlina berkata anak autisme kebiasaannya mempunyai kekuatan tertentu dalam aspek memori visual atau pemikiran berasaskan visual, yang dapat dilihat menerusi minat dan aktiviti seharian mereka.

Menurut beliau, kekuatan memori Anwar antara lain dapat dilihat melalui keupayaannya mengingati bendera pelbagai negara, meskipun terdapat beberapa bendera yang dikenal pasti dengan tepat dan sebahagian lagi kurang tepat.

Beliau berkata keupayaan tersebut berkait rapat dengan aktiviti harian Anwar yang sering mengisi masa dengan melihat buku berkaitan bendera, bermain puzzle serta menggunakan pelekat bendera sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajarannya.

-Advertisement-

Fadhlina turut berkongsi bahawa beliau menemui helaian lukisan bendera ketika menyemak lembaran kerja sekolah Anwar. Hampir setiap helaian kerja yang disiapkan anaknya akan dihiasi dengan lukisan bendera selepas tugasan di dalam kelas selesai.

Perkongsian itu turut menjadi ruang untuk Fadhlina mengajak ibu bapa yang mempunyai anak autisme berkongsi pengalaman mengenai kemahiran, kelebihan atau kekuatan memori visual yang dimiliki anak masing-masing.

Menurut beliau, perkongsian pengalaman sesama ibu bapa dapat membuka ruang untuk mengenal pasti keunikan dan potensi anak-anak autisme melalui minat serta kebolehan yang mereka tunjukkan dalam kehidupan seharian – The Capital Post