Jambatan Sejingkat Dijangka Dibuka Awal Oktober

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING 19 September 2026 (The Capital Post) – Projek Jambatan Sejingkat kini memasuki peringkat akhir pelaksanaan dan dijangka dibuka kepada pengguna pada awal Oktober 2026, susulan perkembangan fizikal yang semakin hampir mencapai tahap kesiapan keseluruhan.

Pengarah Kerja Raya Sarawak, YBhg. Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Is. Gs. Br. PMr. QPr. Dr. Cassidy anak Morris, mengadakan lawatan ke tapak projek pada 17 September 2026 bagi meninjau perkembangan terkini serta kemajuan kerja pembinaan jambatan berkenaan.

Lawatan itu memberi tumpuan kepada tahap kesiapan keseluruhan projek, termasuk kerja-kerja akhir struktur jambatan, kemudahan berkaitan serta aspek keselamatan bagi memastikan infrastruktur berkenaan benar-benar bersedia sebelum dibuka kepada orang ramai.

Jambatan dua hala berkembar sepanjang 1,281.2 meter itu dibina mengikut Piawaian JKR R5 dan menjadi antara infrastruktur penting dalam memperkukuh rangkaian jalan raya serta meningkatkan ketersambungan di kawasan Kuching dan sekitarnya.

-Advertisement-

Struktur utama jambatan tersebut menggunakan reka bentuk cable-stayed bridge yang merangkumi tiga rentang masing-masing sepanjang 200 meter, 400 meter dan 200 meter. Projek berkenaan turut melibatkan pembinaan enam rentang prestressed concrete T-girders, setiap satu sepanjang 40 meter, di bahagian Tanjung Bako dan Sejingkat.

Apabila dibuka kelak, Jambatan Sejingkat dijangka menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya, selain membantu melancarkan pergerakan trafik serta meningkatkan hubungan antara kawasan Sejingkat, Tanjung Bako dan kawasan sekitarnya.

Kemajuan projek berkenaan terus dipantau bagi memastikan kerja-kerja akhir dapat diselesaikan mengikut keperluan sebelum jambatan dibuka untuk kegunaan awam – The Capital Post