MCMC Siasat Video Pementasan 2018 Yang Kembali Tular

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 20 September 2026 (The Capital Post) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung sebuah video pementasan yang kembali tular di media sosial dan didakwa mengandungi kandungan menyentuh institusi Raja, Malaysia serta Rukun Negara.

MCMC dalam kenyataan pada 19 September 2026 memaklumkan pihaknya telah menerima aduan berkaitan video berkenaan yang tersebar di beberapa platform media sosial.

Semakan awal mendapati rakaman tersebut berasal daripada sebuah pementasan yang berlangsung pada 2018 sebelum kembali disebarkan di media sosial baru-baru ini. MCMC turut memaklumkan beberapa akaun media sosial dan individu berkaitan telah dikenal pasti bagi membantu siasatan.

Dalam usaha melengkapkan siasatan, MCMC turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk dalam aspek pengumpulan serta penelitian bukti digital.

MCMC pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan individu yang dikaitkan dengan video tersebut kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu proses siasatan.

-Advertisement-

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang sebelum ini meminta PDRM dan MCMC menjalankan siasatan segera serta menyeluruh berhubung video pementasan berkenaan. Beliau berkata tindakan sewajarnya perlu dipertimbangkan sekiranya siasatan mendapati terdapat pelanggaran undang-undang.

Menurut Aaron, siasatan boleh mengambil kira peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948, tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.

Kes tersebut masih dalam siasatan dan orang ramai diminta memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan proses berkenaan tanpa membuat kesimpulan terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan rakaman tersebut – The Capital Post