KUALA PILAH, 21 September 2026 (The Capital Post) – Hampir 1,000 penduduk setempat bakal menikmati kemudahan lebih selesa dan selamat menerusi dua projek di bawah Inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi.
Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Projek Membina Semula Surau Kampung Tebat Kering dan Projek Menaik Taraf Balai Raya Kampung Bukit Temensu/Kampung Tebat Kering di Kuala Pilah.
Kedua-dua projek itu menyediakan kemudahan yang lebih baik bagi pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan, selain menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.
Projek menaik taraf balai raya yang bermula pada 17 Oktober 2025 telah disiapkan sepenuhnya dengan Perakuan Siap Kerja dikeluarkan pada 26 Disember 2025.
-Advertisement-
Sementara itu, Projek Membina Semula Surau Kampung Tebat Kering siap sepenuhnya pada 14 September 2026.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil serta barisan pengurusan tertinggi kementerian.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Komunikasi, kedua-dua projek di bawah Inisiatif Kampung Angkat MADANI itu memberi manfaat kepada hampir 1,000 penduduk setempat. – The Capital Post