PRIME Terapi Seni Bantu Pegawai Urus Emosi dan Tekanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUNGKAI, 21 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 20 pegawai Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia menyertai Program Intervensi Minda dan Emosi (PRIME): Terapi Seni sebagai usaha membantu peserta mengurus emosi, meredakan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental.

Program selama tiga hari dari 7 hingga 9 September itu berlangsung di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai, Perak.

Ia dianjurkan oleh Unit Pengurusan Psikologi bersama Unit Latihan, Bahagian Sumber Manusia dengan menggunakan pendekatan terapeutik berasaskan seni kreatif.

Menerusi ekspresi seni, peserta diberikan ruang yang selamat untuk meneroka dan memahami keadaan emosi kendiri secara bebas serta positif.

Pendekatan itu turut membantu peserta meluahkan perasaan, tekanan atau trauma yang sukar diungkapkan secara lisan menerusi penggunaan media visual dan lukisan.

-Advertisement-

Terapi berkenaan juga bertujuan membantu peserta mengenal pasti, memahami dan memproses punca emosi negatif serta tindak balas mental mereka.

Program itu diharap dapat membantu meredakan ketegangan fikiran, memupuk rasa tenang serta membekalkan peserta dengan strategi pengurusan emosi dan krisis yang sihat melalui kreativiti.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Ekonomi, PRIME: Terapi Seni merupakan antara pendekatan yang digunakan bagi menyokong pengurusan emosi dan kesejahteraan mental dalam kalangan pegawai. – The Capital Post