MED4IR Perkukuh Agenda Digital Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM, 22 September 2026 (The Capital Post) – Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus diperkukuh menerusi Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negeri (MED4IR Negeri) Bilangan 2 Tahun 2026 bagi mempercepat pelaksanaan agenda pendigitalan negara.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo pada Isnin (21 September) membincangkan beberapa inisiatif utama termasuk status integrasi MyDigital ID di peringkat negeri.

Perbincangan turut merangkumi perkongsian data antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), pengurusan data aset jalan serta Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030.

Mesyuarat itu turut menjadi platform perkongsian idea dan penyelesaian bagi memperkukuh ketersambungan, infrastruktur digital, perkongsian data serta penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam.

-Advertisement-

Dalam rangka program sama, lawatan kerja turut diadakan ke Smart Selangor Operations Centre (SSOC) dan Pusat Integrasi Sistem Pemantauan Pintar Shah Alam (IRIS).

Lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan keupayaan pemantauan, pengurusan dan penyelarasan perkhidmatan Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Digital, kerjasama strategik menerusi MED4IR Negeri akan terus diperkukuh bagi meningkatkan produktiviti dan menyokong aspirasi Malaysia ke arah Negara AI 2030. – The Capital Post