Anwar Saksikan Perarakan Kontinjen Malaysia Di WorldSkills

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHANGHAI 23 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan secara langsung perarakan kontinjen Malaysia pada Majlis Perasmian Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 yang berlangsung di Shanghai World Expo Cultural Center, malam tadi.

Kehadiran Anwar pada majlis yang dirasmikan Perdana Menteri China, Li Qiang itu adalah atas jemputan pemimpin China berkenaan, selain menjadi tanda sokongan terhadap penyertaan Malaysia dalam pertandingan kemahiran antarabangsa tersebut.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menzahirkan penghargaan kepada 22 anak muda Malaysia yang membawa nama negara dalam 21 bidang kemahiran, selain mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan pada perarakan berkenaan.

Beliau berkata peserta Malaysia bakal bersaing bersama peserta dari lebih 60 negara dalam pelbagai bidang kemahiran yang dipertandingkan pada WorldSkills Shanghai 2026.

-Advertisement-

Anwar turut mendoakan agar segala usaha dan persiapan yang dilakukan para peserta membuahkan hasil membanggakan, termasuk dalam usaha Malaysia memburu pingat emas pertama di pertandingan peringkat dunia itu.

WorldSkills Shanghai 2026 berlangsung dari 22 hingga 27 September, dengan pertandingan kemahiran dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 26 September di National Exhibition and Convention Center (NECC).

Malaysia menghantar 22 peserta dalam 21 bidang kemahiran menerusi misi “Road to Gold” pada edisi kali ini, sebagai usaha memperkukuh penyertaan negara dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat antarabangsa – The Capital Post