Anwar Sambut Terjemahan Mandarin Buku Rethinking Ourselves

Estimate Reading Time: < 1 minute

HANGZHOU 24 September 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa terharu apabila karya beliau, Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times, secara rasmi diterbitkan dalam terjemahan bahasa Mandarin.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata edisi Mandarin berkenaan diharapkan dapat memperluas ruang pertemuan dan pertukaran pemikiran, budaya serta peradaban antara masyarakat.

Beliau menjelaskan bahawa buku tersebut bukan berbentuk memoir atau autobiografi, sebaliknya menghimpunkan renungan berkaitan pengalaman penjajahan dan imperialisme, kebangkitan negara-negara merdeka, pencarian serta pemurnian jati diri bangsa, selain usaha membina negara bangsa dan masa depannya berteraskan keadilan, kemanusiaan serta kemakmuran bersama.

Menurut Anwar, hubungan antara Malaysia dan China turut menunjukkan bahawa perbezaan tidak semestinya membawa kepada pertentangan. Hubungan antara kedua-dua masyarakat dan peradaban telah berkembang sejak berabad lamanya melalui perdagangan, kebudayaan, sikap saling menghormati serta pertukaran ilmu.

Beliau berkata dalam dunia yang berdepan pelbagai prasangka dan ketidakpercayaan, jambatan kefahaman antara masyarakat perlu terus diperkukuh bagi mewujudkan hubungan yang lebih baik.

-Advertisement-

Anwar turut menegaskan bahawa masyarakat tidak seharusnya terperangkap dalam dikotomi Timur atau Barat, sebaliknya mengambil hikmah daripada pelbagai tradisi pemikiran, termasuk Confucius dan Mencius, Shakespeare serta khazanah pemikiran Islam dan peradaban lain.

Katanya, nilai yang perlu dijunjung ialah prinsip yang mengangkat martabat manusia, termasuk kebenaran, keadilan, ihsan dan rasa hormat antara insan.

Edisi Mandarin buku berkenaan dilancarkan secara rasmi di Hangzhou pada 23 September 2026, dengan terjemahan dilakukan oleh Dr Yan Lijin dan diterbitkan oleh World Affairs Press di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar China.

Anwar berkata persoalan besar zaman ini bukan semata-mata mengenai asal-usul Timur atau Barat, bangsa mahupun anutan, tetapi sejauh mana manusia mampu menemukan kembali nilai kemanusiaan yang menyatukan semua pihak serta membina kesejagatan yang adil dan saksama untuk semua – The Capital Post.