Fadhlina: AI Jangan Ambil Alih Proses Berfikir Murid

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 24 September 2026 (The Capital Post) – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perlu dimanfaatkan untuk membantu pembelajaran tanpa mengambil alih proses pemikiran murid.

Menerusi hantaran di Facebook, Fadhlina berkata keupayaan menyiapkan kerja sekolah dalam tempoh singkat dengan bantuan teknologi tidak semestinya menunjukkan berlakunya pembelajaran yang sebenar.

Beliau berkata AI boleh membantu meringkaskan bahan bacaan serta menerangkan konsep yang sukar, namun murid tetap perlu melalui proses memahami, menilai dan berfikir sendiri. Dapatan PISA 2025 turut menunjukkan 56 peratus murid Malaysia menggunakan chatbot AI untuk membantu pembelajaran sekurang-kurangnya sekali seminggu, berbanding purata 46 peratus bagi negara-negara OECD.

Menurut Fadhlina, penggunaan AI sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan anak-anak dan pendekatan yang diperlukan bukan sekadar menghalangnya, sebaliknya memastikan kemudahan teknologi tidak menggantikan usaha kognitif yang diperlukan dalam proses pembelajaran.

Beliau memberi contoh bahawa apabila seorang murid perlu membaca semula perenggan yang sukar difahami, masa yang digunakan untuk berusaha memahami kandungan tersebut bukanlah sesuatu yang sia-sia, sebaliknya sebahagian daripada proses pembelajaran.

Perkara itu turut menjadi antara penekanan beliau ketika menyampaikan pandangan berkaitan peranan guru dalam pendidikan berasaskan teknologi pada Bett Asia 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 23 dan 24 September.

-Advertisement-

Fadhlina berkata teknologi mungkin mampu mengenal pasti perubahan prestasi seseorang murid, namun guru mempunyai keupayaan untuk memahami perkara yang tidak dapat dilihat melalui data atau paparan skrin.

Sebagai contoh, katanya, guru mungkin menyedari perubahan tingkah laku murid termasuk apabila mereka tidak lagi bersama rakan-rakan ketika waktu makan tengah hari, sekali gus memberi petunjuk bahawa terdapat perkara lain sedang berlaku dalam kehidupan murid berkenaan.

Justeru, beliau berpandangan guru perlu dilibatkan dalam pembangunan teknologi pendidikan dan bukan sekadar menjadi penerima produk yang telah siap dibangunkan.

“Teknologi boleh mengenal pasti pola. Guru memahami manusia di sebaliknya,” katanya.

Fadhlina berkata penggunaan AI dalam pendidikan sewajarnya bertujuan memudahkan proses pembelajaran, namun kemudahan tersebut perlu diseimbangkan supaya murid masih mempunyai ruang untuk berfikir, membuat kesilapan, memahami sesuatu perkara dan mencari jawapan secara kendiri – The Capital Post.