IPOH 29 September 2026 (The Capital Post) – Seorang lelaki warga Rohingya berusia 28 tahun mengalami kecederaan selepas basikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Taman Rasi Jaya, di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima laporan berhubung kejadian sebelum menggerakkan Pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh ke lokasi.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami dislokasi pada bahu kiri, luka terbuka pada lengan kanan serta kecederaan pada paha kanan akibat pelanggaran berkenaan.
Pasukan EMRS kemudian memberikan rawatan kecemasan di lokasi termasuk membalut luka bagi membantu mengawal pendarahan dan menstabilkan keadaan mangsa sebelum dipindahkan ke dalam jentera EMRS.
-Advertisement-
Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk mendapatkan rawatan kepakaran lanjut.
Operasi bantuan ditamatkan selepas mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan seterusnya.
Sementara itu, punca sebenar kemalangan sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh – The Capital Post