BENGALURU 29 September 2026 (The Capital Post) – Teknologi satelit, penderiaan jauh dan kecerdasan buatan (AI) berpotensi memperkukuh pengurusan serta produktiviti sektor perladangan Malaysia menerusi pemantauan kesihatan tanaman, ramalan hasil dan penilaian risiko perubahan iklim.
Potensi penggunaan teknologi tersebut dibincangkan dalam pertemuan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bersama syarikat teknologi SatSure di Bengaluru, India, semalam.
Pertemuan bersama Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SatSure, Prateep Basu dan Naib Presiden Produk syarikat itu, Vishal Thiruvedula, memberi tumpuan kepada penerapan teknologi digital dalam industri sawit, termasuk pemantauan keadaan tanaman, pengurusan sumber yang lebih cekap serta penilaian kesan perubahan iklim terhadap sektor berkenaan.
SatSure yang berpangkalan di Bengaluru memanfaatkan data pemerhatian bumi, imejan satelit, teknologi penderiaan jauh dan AI untuk menghasilkan analisis bagi menyokong proses membuat keputusan dalam pelbagai sektor, termasuk pertanian, perhutanan, kewangan dan infrastruktur.
Perbincangan itu turut merangkumi potensi pelaksanaan projek rintis melibatkan SatSure, institusi teknikal dan pemain industri perladangan Malaysia bagi menilai kesesuaian teknologi berkenaan dengan keadaan serta keperluan industri tempatan.
-Advertisement-
Penerokaan tersebut membuka peluang kepada perkongsian kepakaran antara Malaysia dan India, selain menyokong penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti, kemampanan dan daya tahan sektor perladangan negara.
Turut menyertai lawatan strategik itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Shafie Taib serta Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Saravana Kumar Kumaravasagam.
Hadir sama Pengarah Bahagian Pembangunan Ekonomi dan Industri Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Johari Minal; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Kaur; Pengurus Serantau MPOC bagi Asia Selatan, Roshan Martis; serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Hasbollah Suparyono – The Capital Post