Malaysia-Brunei Perkukuh Kerjasama Pertahanan Menerusi JDWC Ke-22

Estimate Reading Time: < 1 minute

BRUNEI DARUSSALAM 2 Oktober 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Brunei Darussalam terus memperkukuh hubungan pertahanan dua hala menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kerjasama Pertahanan (JDWC) Ke-22 yang berlangsung di Brunei pada 1 Oktober lalu.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali, dan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pentadbiran), Kementerian Pertahanan Brunei Darussalam, Brigedier Jeneral (Bersara) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

Perbincangan memberi tumpuan kepada perkembangan serta hala tuju kerjasama pertahanan kedua-dua negara, khususnya dalam bidang latihan dan eksesais, logistik serta perisikan. Penekanan turut diberikan kepada usaha meningkatkan kesiapsiagaan dan interoperabiliti antara angkatan tentera Malaysia dan Brunei Darussalam.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai inisiatif untuk memperkukuh kerjasama sedia ada supaya terus relevan dengan keperluan pertahanan semasa. Antara perkara yang dibincangkan termasuk pelaksanaan latihan bersama, pertukaran kepakaran dan pengalaman serta penerokaan bidang kerjasama baharu yang berpotensi meningkatkan keupayaan profesional kedua-dua angkatan tentera.

-Advertisement-

Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Brunei Darussalam dalam memastikan hubungan pertahanan dua hala berkembang seiring dengan perubahan persekitaran keselamatan serantau.

Dalam mesyuarat tersebut, Datuk Lokman Hakim turut menjemput Brigedier Jeneral (Bersara) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27), yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 April 2027.

Jemputan itu diharap dapat membuka lebih banyak ruang untuk interaksi strategik, memperluas jaringan pertahanan serta meneroka peluang kerjasama baharu antara kedua-dua negara – The Capital Post