MIRI 25 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Sumber Manusia KKM bagi Negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 24 Oktober 2026 bagi membincangkan isu serta cabaran berkaitan pengurusan sumber manusia di ketiga-tiga kawasan berkenaan.
Dalam ucapan pembukaannya, beliau menekankan kepentingan menangani cabaran pengurusan sumber manusia serta meneliti pendekatan yang bersesuaian untuk memperkukuh penempatan dan pengekalan petugas kesihatan, khususnya di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah penempatan petugas kesihatan, status semasa faedah dan insentif pegawai serta cadangan pembinaan kuarters baharu. Mesyuarat turut meneliti cadangan penempatan petugas di bawah Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) di wad hospital bagi membantu melaksanakan tugas bukan klinikal, selain membincangkan status pelantikan semula jururawat yang telah bersara secara locum.
Perbincangan ini memberi tumpuan kepada keperluan memperkukuh pengurusan tenaga kerja kesihatan melalui penelitian terhadap aspek penempatan, kebajikan, kemudahan dan sokongan kepada petugas. Langkah tersebut penting bagi memastikan keperluan sumber manusia dapat ditangani secara menyeluruh, khususnya di kawasan yang berdepan cabaran penempatan dan pengekalan tenaga kerja.
-Advertisement-
Mesyuarat ini mencerminkan komitmen KKM untuk terus meneliti isu pengurusan sumber manusia serta mengenal pasti pendekatan yang bersesuaian bagi memperkukuh kapasiti tenaga kerja kesihatan. Usaha berkenaan diharap dapat menyokong kelancaran penyampaian perkhidmatan kesihatan dan memastikan keperluan rakyat terus diberikan perhatian.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs. Puan Noor Afifah binti Abdul Razak; Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), YBhg. Dato’ Sri Zahrul Hakim bin Abdullah; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Dr. William Gotulis; Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan, YBhg. Datin Paduka Roslinah binti Md Jani; Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, YBhg. Datuk Mohd Shahrim bin Hussin; Setiausaha Bahagian Kewangan, YBrs. Encik Dhanesh Kumar Danesekaran; Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan, YBrs. Puan Emillia Rosnizar binti Ahmad Hanipiah; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, YBrs. Encik Banges Munga; serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Encik Jonathan Freddy P. Bagang. – The Capital Post