HASiL Rekod 2.14 Bilion e-Invois Setakat 2 November

Estimate Reading Time: < 1 minute

CYBERJAYA, 4 November 2026 – Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, hadir menyampaikan anugerah sempena Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2026 yang berlangsung di Menara HASiL, Cyberjaya.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Shamsul Azri bin Abu Bakar; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Dato’ Sri Ab Rahim bin Ab Rahman; serta Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddin.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Dalam ucapan tersebut, beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan e-Invois berupaya meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian, namun pelaksanaannya perlu berpandukan prinsip integriti, ihsan dan pertimbangan manusia.

Sehingga 2 November 2026, sebanyak 2.14 bilion e-Invois telah dikemukakan oleh kira-kira 269,900 pembayar cukai. Penggunaan data e-Invois turut mendorong lebih 97,000 pembayar cukai mengemukakan borang nyata bagi tahun-tahun terdahulu secara sukarela, melibatkan jumlah cukai kena dibayar sebanyak RM1.68 bilion.

-Advertisement-

Inisiatif e-Invois bukan bertujuan memperkenalkan cukai baharu atau menambah beban rakyat. Sebaliknya, pelaksanaannya membantu memperkukuh ketelusan sistem percukaian, mengesan ketidakpatuhan serta memastikan tanggungjawab percukaian dilaksanakan secara lebih adil.

Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2026 turut menekankan kepentingan mengimbangi kemajuan teknologi dengan nilai integriti dan tanggungjawab dalam memastikan sistem pentadbiran percukaian terus cekap, telus dan berkesan. – The Capital Post