KUALA LUMPUR 6 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Penganut Hindu di seluruh Malaysia bakal menyambut perayaan Deepavali pada 8 November ini dengan pelbagai upacara keagamaan, amalan tradisi serta pertemuan bersama keluarga dan sahabat handai.
Dikenali juga sebagai Diwali atau Pesta Cahaya, Deepavali merupakan antara perayaan utama dalam kalendar masyarakat Hindu yang membawa maksud kemenangan kebaikan terhadap kejahatan, cahaya mengatasi kegelapan dan ilmu mengatasi kejahilan.
Antara amalan yang sinonim dengan perayaan ini ialah menyalakan pelita atau agal vilakku sebagai simbol menghapuskan kegelapan, di samping menyemarakkan harapan, nilai positif dan kemakmuran dalam kehidupan.
Presiden Hindudharma Maamandram Malaysia, Rishi Kumar Vadivelu berkata, Deepavali turut menjadi peringatan kepada penganut Hindu agar menjauhi sifat negatif seperti keangkuhan, iri hati dan ego.
Menurutnya, nama Deepavali berasal daripada gabungan dua perkataan Tamil, iaitu Deepam yang bermaksud pelita dan Avali yang merujuk kepada barisan atau susunan pelita.
Persiapan menyambut perayaan lazimnya bermula sehari lebih awal, iaitu pada 7 November, apabila keluarga mengadakan upacara sembahyang bagi menghormati dewa keluarga atau Kula Deivam serta memohon keberkatan.
Pada pagi Deepavali pula, penganut Hindu akan melaksanakan tradisi Ganga Snanam, iaitu menyapu minyak bijan pada kepala sebelum mandi sebagai amalan yang dipercayai membawa keberkatan rohani.
Selepas itu, mereka akan mengenakan pakaian baharu, memohon restu daripada ibu bapa dan golongan lebih tua, menunaikan sembahyang serta mengunjungi kuil. Sambutan diteruskan dengan menikmati hidangan tradisional dan manisan bersama keluarga serta rakan-rakan.
-Advertisement-
Suasana perayaan turut diserikan dengan hiasan pelita dan kolam berwarna-warni di kediaman, selain penyediaan pelbagai juadah untuk dihidangkan kepada tetamu.
Sementara itu, Presiden Hindu Sangam Malaysia, Thanga Ganesan berkata, Deepavali merupakan peluang penting untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan serta memastikan warisan budaya dan keagamaan terus dipelihara oleh generasi seterusnya.
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum berkongsi kemeriahan perayaan menerusi amalan rumah terbuka dan pertemuan bersama rakan-rakan berlainan latar belakang.
Katanya, sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain mampu memperkukuh perpaduan serta keharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini.
Dalam ucapan sempena Deepavali, Naib Presiden MIC merangkap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah turut menyeru masyarakat India supaya memanfaatkan perayaan tersebut untuk merapatkan hubungan keluarga, menyemai perpaduan dan membantu golongan yang memerlukan.
Beliau juga menggesa kerajaan agar terus memberi perhatian terhadap aspek kebajikan, pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi masyarakat India, khususnya keluarga berpendapatan rendah dalam kumpulan B40.
Menurut Murugiah, nilai Deepavali perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui amalan kebaikan, belas ihsan dan sikap saling menghormati bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum terus terpelihara. – The Capital Post